Nak berniaga ikut musim di Malaysia sangat boleh dan berbaloi, sebab Malaysia kan kaya dengan pelbagai bangsa dan budaya. Jadi bagi mereka yang baru nak berkecimpung dalam bidang perniagaan, boleh juga mulakan dengan mengikut musim yang ada di Malaysia.
Kepelbagaian dan kekayaan sumber di Malaysia ini membuatkan negara kita menjadi tumpuan bagi pelabur asing dan serantau. Mana tidaknya, Malaysia satu-satunya negara yang mempunyai cuti perayaan paling banyak. Ini kerana Malaysia mengamalkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain, walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya.
Bagi mereka yang ingin capai peluang berniaga di Malaysia, bumi bertuah ini dan rakyatnya yang pemurah dan suka berbelanja, pasti akan menguntungkan peniaga tak kira musim. Itu yang tak kira musim, kalau ikut musim sebenarnya lagi berbaloi. Berbaloi yang bagaimana? Jom baca.
Musim Biasa di Malaysia
Jadi, kita mulakan dengan musim perayaan di Malaysia. Mengikut pecahan budaya bangsa dan cuti umum yang diraikan, Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri & Aidiladha, Deepavali, Hari Gawai Dayak & Kaamatan serta Hari Krismas. Bagi musim kenegaraan pula adalah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ada juga musim ikut keadaan cuaca, iaitu musim kemarau dan musim tengkujuh. Jikalau diperhatikan musim-musim ini sangat dekat di hati penduduk Malaysia. Malah, di sesetengah kalendar pun ada catitan begini.
Perayaan Tahun Baharu Cina
Bagi peniaga yang mengambil kesempatan berniaga semasa musim ini bakal tiba, banyak peluang yang boleh diusahakan. Kebanyakannya berkaitan dengan adat perayaan itu sendiri yang ramai rakyat Malaysia sedia maklum. Antaranya, penghasilan kuih tat nanas dan kuih kapit atau kuih gulung. Selain itu, warna merah menjadi simbol utama bagi perayaan ini. Perniagaan menjual pakaian tradisional atau fusion tradisional berwarna merah, oren, kuning dan emas turut boleh membawa pulangan lumayan. Anda juga boleh cuba menjual dekorasi Tahun Baharu Cina daripada tanglung sampailah ke bunga-bunga.
Perayaan Hari Raya Aidilfitri & Aidiladha
Perayaan ini sangat sinonim dengan semua bangsa di Malaysia. Manakan tidak, saban tahun, akan ada pejabat Menteri yang adakan rumah terbuka untuk menjamu selera rakyat pelbagai kaum. Perniagaan untuk musim ini boleh berlangsung sebulan setengah sebelum Aidilfitri kerana bulan puasa lah orang nak bershopping. Antara jualan yang biasa adalah pakaian tradisional baharu untuk seisi keluarga, kelengkapan rumah baharu, kuih raya, paket duit raya, dekorasi raya, penyediaan makanan raya untuk secara katering untuk pagi raya dan banyak lagi. Malah, jika perlukan orang untuk membersihkan dan mengemaskan rumah untuk raya pun boleh. Konsep berniaga ni senang je, ada yang meminta atau memerlukan, adalah yang menyedia atau menawarkan khidmat atau produk.
Perayaan Hari Deepavali
Konsep Deepavali hampir sama dengan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri. Membersihkan rumah, menghias rumah, memakai pakaian baharu, menyediakan lauk pauk tradisional serta kuih-kuih tradisional. Orang India masih mengamalkan membuat ‘kolam’ semasa Deepavali. Jika tiada kemahiran untuk membuat kolam secara tradisional, kini sudah ada versi plastik. Cuma mungkin kaum keluarga yang lebih berumur kurang berkenanlah. Ada juga adat-adat lain yang berkaitan dengan Deepavali, dan usahawan kecil boleh menjual untuk memenuhi keperluan yang sepatutnya. Sebaiknya dapatkan nasihat tentang adat dan budaya daripada kaum tersebut, agar tiada yang tersinggung kerana salah faham.
Perayaan Hari Gawai Dayak & Kaamatan
Perayaan ini diraikan oleh Kaum Dayak di Sarawak dan Kaamatan di Sabah. Ianya adalah pesta menuai bagi kaum-kaum di Sabah & Sarawak. Walaupun bandar-bandar di dua negeri ini pesat membangun, masih ramai yang menanam padi dan menuainya bila tiba masanya. Kemeriahan perayaan ini dirasai di perkampungan di Sarawak dan Sabah dan kebanyakannya masih mengamalkan adat tradisional semasa perayaan ini. Seperti biasa, jualan untuk persiapan perayaan akan menyerlah apabila perayaan ini semakin dekat. Kajilah sektor apa yang anda boleh turut berniaga untuk musim ini.
Perayaan Krismas
Oleh kerana Krismas dikaitkan dengan memberi hadiah, pelbagai barangan atau produk boleh dijadikan hadiah bermakna buat yang tersayang. Namun, konsep meraikan Krismas di Malaysia lebih menjurus kepada komuniti tertentu. Ada yang menyambut seperti benar-benar berada di negara-negara luar, ada juga yang di’custom’ kan mengikut tradisi budaya komuniti tersebut. Contohnya, di perkampungan Portugis Melaka, setiap keluarga akan menyediakan Kek Suji, yang resepinya menggunakan tepung Semolina. Ini antara bahan utama dalam penyediaan kek ini, dan usahawan boleh cuba menjual produk ini bagi membantu keluarga Portugis di Melaka menyediakannya. Pelbagai jenis hiasan turut menjadi kegilaan yang ingin meraikan Krismas. Jenama-jenama besar juga seperti biasa akan menghasilkan pembungkusan produk berbentuk dan bercorak hadiah Krismas. Maka, anda boleh cuba hasilkan apa sahaja produk berkaitan atau bercorak Krismas.
Perayaan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia
Satu Malaysia, daripada peringkat sekolah, universiti, sektor kerajaan dan swasta akan meraikan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia dengan bertemakan Jalur Gemilang atau Malaysia secara umumnya. Di kala ini, bendera Jalur Gemilang akan paling laku, tak kira saiz dan baju serta pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang turut akan menjadi pilihan bagi sektor-sektor yang meraikan dengan bersungguh-sungguh. Bagus juga, agar anak-anak kita dan diri kita kekal patriotik.
Cuaca Jadi Punca
Semasa musim kemarau di Malaysia, percayalah, tempayan plastik atau lebih bagus, kontena air akan menjadi igauan para penduduk di Malaysia kerana akan ada beberapa hari atau minggu yang kita terpaksa hadapi catuan air. Selalunya pihak tertentu akan memberitahu lebih awal, maka penduduk harus bersedia untuk hadapinya dengan menyimpan air dengan lebih awal. Bagi musim tengkujuh pula, peralatan seperti lindungan daripada hujan dan banjir akan menjadi rebutan. Kebiasaannya, musim tengkujuh berlangsung di hujung tahun.
Idea Berniaga Juga Boleh Kami Sarankan
Sekiranya anda berhasrat untuk berniaga, namun tiada idea untuk berniaga apa, kami boleh menyarankan pelbagai produk atau perkhidmatan yang sesuai dengan bajet anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.ddec.my/perkhidmatan dan ikuti kami di media sosial Facebook, Instagram dan saluran YouTube, ddecmalaysia.