Blog
0
sebentar...

Minat dan Sabar Capai Cita-cita




Menceburi bidang seni pertukangan kayu bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi usahawan Tukang Kayu Moden saudara Shahrul Radzi bin Mohamad Yusof, bidang ini memerlukan seseorang itu mempunyai minat dan kesabaran yang tinggi bagi menghasilkan kualiti produk yang terbaik. Apabila mempunyai minat, barulah akan datang kehendak untuk sentiasa belajar. Dengan belajar, segala ilmu baharu akan dapat diperolehi dan dipraktikkan untuk kegunaan dan manfaat di dalam sesuatu bidang yang diceburi. Keduanya, seseorang itu harus mempunyai kesabaran yang tinggi. Sifat dan sikap sabar itu perlu ada bagi setiap tukang kayu bagi menjamin setiap produk atau barangan yang dihasilkan berada pada kualiti yang terbaik, disamping cara pembuatannya juga akan menjadi lebih kemas dan teliti. Nilai-nilai ini sangat penting untuk dititik beratkan, bagi menjamin mutu hasil kerja yang mencapai standard pelanggan.

Selain itu, beliau juga menekankan aspek keselamatan untuk sentiasa berhati-hati. Ia menjadi perkara yang paling utama dan perlu selalu dipraktikkan bagi mengelakkan isu-isu keselamatan yang tidak diingini daripada berlaku. Sebagai makluman, kerja-kerja pertukangan kayu ini memerlukan pekerjanya untuk sentiasa bermain dengan peralatan yang berat, tajam dan merbahaya seperti kayu-kayan yang besar, gergaji, pahat, pisau, paku dan sebagainya. Apabila aspek keselamatan diberi perhatian yang sebaiknya, ia secara tidak langsung menjamin kualiti setiap produk yang dihasilkan.




Bermula Dari Sekadar Hobi


Bagi pemilik syarikat Hijau Garden yang berusia 41 tahun ini, beliau memulakan perniagaannya iaitu sebuah syarikat tukang kayu moden sejak tahun 2013 adalah dari sekadar hobi kecil-kecilan. Kemudian minat yang mendalam terhadap seni pertukangan kayu moden ditambah pengalaman yang dimiliki terdahulu sebagai seorang arkitek lanskap profesional menjadikan ilmu dan bakat yang dimiliki digunapakai bagi mengembangkan perniagaannya. Bakat yang diwarisi dari moyangnya juga menjadikan usahawan yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini meneruskan hobinya sehingga menjadikan ia perniagaan yang serius sehingga mempunyai bengkel sendiri pada hari ini.



Meneruskan Legasi Moyang


Kepakaran yang dimiliki oleh moyangnya pada zaman dahulu yang dapat membina sebuah rumah bermula dari sebatang tiang sehingga naik ke bumbung, menjadi antara faktor beliau berminat mengembang dan mendalami bakat yang dimiliki. Bak kata pepatah, “Manakan tumpah kuah kalau tidak ke nasi”. Beliau nekad meneruskan minat dan bakat yang diwarisi namun lebih kepada penghasilan ukiran kayu moden. Produk yang dihasikan pula kesemuanya adalah secara “custom made” atau mengikut citarasa dan kehendak pelanggan. Bakat yang dimilki ini menjadikan beliau seorang tukang kayu moden yang disegani pada hari ini.





Proses Pembuatan Kerja-Kerja Kayu


Sehingga ke hari ini, perniagaan yang berstatus enterprise ini diuruskan sendiri oleh beliau dengan dibantu seramai 6 orang kakitangan termasuk seorang yang mengurus tempahan pelanggan dan seorang pelukis lukisan 3D. Selebihnya adalah 4 orang tukang kayu atau craftsman. Antara produk-produk yang dihasilkan adalah perabot-perabot seperti kabinet dapur serta ukiran perabot di luar bangunan seperti perabot-perabot taman dan sebagainya. Selain itu syarikat beliau juga turut menghasilkan ukiran perabot untuk kanak-kanak.



Antara proses awal yang terlibat untuk penghasilan kerja pertukangan adalah, mereka akan menghasilkan lukisan tiga dimensi (3D), bagi mendapatkan gambaran terperinci mengikut kehendak pelanggan. Selepas itu barulah pembelian jenis kayu dibuat. Semua kerja-kerja pemotongan, menggosok, memaku dan mengecat di buat di bengkel. Akhir sekali, proses penghantaran kepada pelanggan juga adalah mengikut waktu seperti yang ditetapkan bersama pelanggan. Di dalam waktu menghasilkan kerja ini, aspek keselamatan dan kualiti akan sentiasa dititik beratkan agar kepuasan pelanggan sentiasa terjamin.


Pengalaman Pahit Manis Serta Harapan

Bergelar seorang usahawan tukang kayu sudah semestinya banyak pengalaman pahit dan manis yang ditempuh. Namun bagi usahawan kreatif ini, pengalaman pahit itu terlalu sedikit untuk dikenang. Manakala terlalu banyak pengalaman manis yang diperoleh. Antaranya, beliau bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama daripada pekerjanya di dalam meneruskan perniagaan ini. Selain itu, maklum balas yang baik daripada pelanggan juga menjadikan ia antara pembakar semangat beliau sepanjang bergelar tukang kayu moden. Shahrul Radzi juga berharap agar suatu hari nanti beliau akan dapat mengembangkan perniagaannya agar lebih dikenali. Bagi para pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat dan tempahan dari Hijau Garden, mereka juga ada menyediakan katalog hasil kerja yang telah dilakukan sebelum ini. Semua itu boleh didapati melalui instagram/hijaugarden dan juga di facebook HijauGarden By HijauReka.




Penjenamaan Penting Bagi Membina Reputasi


Saudara Shahrul Radzi telah membawa jenama Hijau Garden sejak dari awal pembabitannya dalam bidang ini. Bagi beliau, penjenamaan adalah penting bagi membina reputasi dalam kalangan pelanggannya. Dengan adanya jenama, mudah untuk pelanggan bercerita tentang hasil kerjanya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Ini seterusnya dapat mengembangkan lagi perniagaannya dalam kalangan peminat seni ukiran kayu.


Semoga usaha beliau di dalam membangun dan mengembangkan perniagaan seni pertukangan kayu ini menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada para usahawan yang lain di luar sana. Minat yang dipupuk dengan sentiasa mahu belajar untuk meningkatkan kemahiran serta sabar dalam membuat sesuatu pekerjaan adalah kualiti yang perlu ada bagi seorang usahawan.


DDEC sedia membantu

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan perkhidmatan penjenamaan dan latihan keusahawanan, hubungi kami di whatsapp atau dapatkan maklumat terkini di Facebook dan Instagram.


MALAYSIA DESIGN DEVELOPMENT CENTRE (DDEC)
NO. 22, JALAN KIA PENG,
50450 WILAYAH PERSEKUTUAN,
KUALA LUMPUR, MALAYSIA

Instagram: @ddecmalaysia
Facebook: fb.com/ddecmalaysia
Website: www.ddec.my
Whatsapp: 017-680 4679

VIEW
Close