Blog
0
sebentar...

Youtube dan Mentor Jadi Batu Asas



Adakalanya bila kita membeli produk tempatan, terkadang kita membeli kerana pembungkusan produk tersebut cantik dan boleh digunakan semula sebagai perhiasan. Produk sebegitu sering kali memerlukan penghasilan pembungkusan produk yang ditempah khas. Ada juga kerana keperluan pemasaran seperti pembungkusan produk semasa jualan musim perayaan. Kebanyakan pembungkusan sedia ada di pasaran mungkin jarang dapat menepati kehendak pelanggan, dan di sinilah MOSUMART DESIGN menghubungkan kehendak pelanggan dengan reka bentuk pembungkusan yang khusus.




Pupuk Minat Melalui Youtube

Bila benar-benar minat, mesti akan datang hasrat nak belajar dari apa sumber sekalipun. Dalam perihal ini, pengasas Mosumart Design, iaitu Mohd Supian bin Mustapa mula meminati reka bentuk grafik setelah melihat rakan-rakan di universiti berjinak dalam bidang ini. Walaupun beliau adalah seorang penuntut pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Perbankan Islam) ketika itu, tidak menghalang beliau untuk turut belajar reka bentuk grafik. Sumber yang ada untuk belajar tentang reka bentuk grafik adalah Youtube dan beliau juga menuntut dengan beberapa orang mentor yang sedikit sebanyak membantu menambah ilmu dalam bidang reka bentuk grafik serta percetakan. Selain daripada minat yang mendalam, Mohd Supian juga memulakan perniagaan sambilan ini ketika di universiti untuk mencari pendapatan buat perbelanjaan di Universiti.

Mosumart Design bukan sahaja mereka bentuk pembungkusan mengikut tempahan daripada pelanggan, ia juga menawarkan percetakan bagi reka bentuk yang ditempah oleh pelanggan. Secara tidak langsung, Mosumart Design memudahkan pelanggan yang tercari-cari perkhidmatan reka bentuk pembungkusan dan percetakan di bawah satu bumbung. Selain reka bentuk pembungkusan, Mosumart Design juga menawarkan perkhidmatan reka bentuk grafik untuk poster, sticker label, kad kahwin dan sebagainya. Bagi sesiapa yang berminat untuk tahu lebih lanjut tentang Mosumart Design boleh layari melalui media sosial Mosumart Design.


Dari Idea ke Hasil


Di Mosumart Design, proses menghasilkan sesuatu reka bentuk bermula daripada mengkaji kehendak pelanggan. Antara kehendak pelanggan yang paling kerap adalah menghasilkan reka bentuk pembungkusan yang unik. Idea asas reka bentuk yang diingini boleh datang daripada pihak pelanggan mahupun pereka Mosumart Design. Pereka grafik akan menghasilkan reka bentuk seperti yang dikehendaki pelanggan dan setelah siap, pelanggan akan dapat melihat hasilnya.


Ada juga pelanggan yang meminta reka bentuk dalam bentuk 3D agar dapat menggambarkan hasil dengan lebih jelas untuk memastikan bagaimana tempahan, begitulah hasilnya apabila siap. Selepas pelanggan berpuas hati dan bersetuju dengan reka bentuk tersebut, barulah proses percetakan bermula. Sepanjang proses reka bentuk, Mohd Supian dan perekanya turut memberikan khidmat nasihat. Antaranya, jika reka bentuk produk tidak mengikut peredaran zaman atau tiada standard yang patut diletakan dalam reka bentuk pembungkusan.






Pahit Manis Perniagaan


Mana-mana perniagaan pun pasti ada liku-liku pahit manis yang perlu dilalui. Pengalaman beginilah yang menambah nilai sentimental perniagaan kepada seseorang pengasas. Bagi Mohd Supian, antara pengalaman pahit beliau adalah ketika baru mula-mula berniaga di mana aspek pembayaran diletakkan sepenuh keyakinan kepada pelanggan. Namun, ada sahaja pelanggan yang tidak mahu menerima tempahan yang telah siap dan membayar jumlah yang telah dipersetujui pada awal perbincangan. Setelah itu, pengalaman pahit jua lah yang mengajar beliau untuk lebih menetapkan beberapa aspek dalam pengurusan & operasi perniagaan supaya urusan Mosumart Design dengan pelanggan berjalan lebih lancar.


Sepanjang menjalankan perniagaan dalam bidang reka bentuk dan percetakan ini, Mohd Supian juga ada menyertai pertandingan reka bentuk dan telah memenangi beberapa pertandingan. Antara pengiktirafan yang paling diingati adalah memenangi pertandingan logo Majlis Bandaraya Seremban, yang mana pengiktirafan diberikan oleh TokMat, iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Mohamed Hasan pada ketika itu.

Selain itu, perkembangan perniagaan Mosumart Design juga menjadi pengalaman manis bagi Mohd Supian yang bermula dengan menyewa ruang untuk meja sendiri, kemudian menyewa sebahagian ruang pejabat untuk mejanya serta pekerja dan kini telah dapat menyewa ruang pejabat sendiri sebagai pusat operasi Mosumart Design.





Perkembangan Mosumart Design


Bermula sebagai enterprise milikan tunggal pada tahun 2011, Mosumart Design bertukar status kepada PLT pada tahun 2020 dengan seorang rakan kongsi iaitu, isteri Mohd Supian. Mosumart Design terdiri daripada 5 orang pekerja yang sangat berdedikasi. Satu bertugas sebagai pentadbir urus syarikat, tiga orang pereka grafik dan satu yang bertanggungjawab untuk operasi mesin. Dalam menjalankan perniagaan, Mohd Supian menekankan kualiti hasil kerja dan kepuasan pelanggan.


Apabila pelanggan dapat apa yang mereka kehendaki, pelanggan lebih percayakan Mosumart Design. Pada masa akan datang Mohd Supian merancang untuk meluaskan perniagaan dengan menambahkan pejabat jualan Mosumart Design ke setiap negeri di seluruh Malaysia.



Kata-kata Nasihat

Sebagai seorang usahawan yang bermula dari bawah, Mohd Supian menasihati individu yang ingin mula berniaga untuk mulakan dengan apa yang ada di tangan. Usah malu bermula dari bawah, kerana setiap langkah untuk naik akan memberikan pengajaran yang bernilai untuk perkembangan diri dan perniagaan. Setiap yang bergelar usahawan haruslah menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh agar setiap peringkat ada berkatnya. Pastikan ilmu juga perlu sentiasa ditambah demi mengembangkan perniagaan.



DDEC Sedia Membantu

Bagi anda di luar sana yang mempunyai cita-cita untuk bergelar seorang usahawan, carilah ilmu melalui apa cara atau platform sekalipun. Dapatkan khidmat pakar dalam industri yang boleh membantu dan memimpin anda untuk merealisasikan impian dan cita-cita. Seperti di DDEC, kami menawarkan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan antaranya Pembangunan Usahawan yang meliputi aspek reka bentuk jenama yang seorang usahawan perlukan.

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan perkhidmatan penjenamaan dan latihan keusahawanan, hubungi kami di Whatsapp atau dapatkan maklumat terkini di Facebook dan Instagram.


MALAYSIA DESIGN DEVELOPMENT CENTRE (DDEC)
NO. 22, JALAN KIA PENG,
50450 WILAYAH PERSEKUTUAN,
KUALA LUMPUR, MALAYSIA

Instagram: @ddecmalaysia
Facebook: fb.com/ddecmalaysia
Whatsapp: 017-680 4679

VIEW
Close