Selamat Datang
loading...

Buat, Redah dan Tawakal

Dari seorang pendidik kepada seorang pengusaha cafe, kisah Chef Lyn jadi inspirasi.
Play Video
Dari seorang pendidik kepada seorang pengusaha cafe, Puan Haslin Binti Hasan atau lebih dikenali sebagai Chef Lyn berpendapat, jika ada niat atau angan-angan untuk lakukan sesuatu, tetapkan hati dan mula lakukannya. Angan-angan akan tinggal di awangan minda sahaja jika tiada tindakan. Namun, ada kalanya keadaan kehidupan yang boleh menghadiahkan peluang untuk kita berangan-angan memiliki sesuatu yang tak disangka.

Sekali kita terjatuh, tak mungkin kita biar diri kita jatuh lagi kan? Sekali kita gagal, kita tentu boleh cuba lagi selagi ada peluang. Peluang untuk bangun dari kejatuhan ada banyak sebenarnya. Mungkin bukan seperti yang kita impikan atau bayangkan, tetapi peluang itu sebenarnya terletak dalam keazaman kita sendiri. Dan apabila kita berjaya bangkit mencapai kejayaan, kita akan bersetuju dengan kegagalan yang pernah kita lalui. Tanpa ujian kegagalan, mana mungkin kita mencapai kejayaan.
Dari Air Tangan Chef Lyn
Bagi Chef Lyn sendiri, setelah 19 tahun berkhidmat sebagai seorang pendidik, bekas dekan fakulti Perhotelan & Seni Kulinari ini kini bergelar seorang pengusaha cafe dan pengeluar produk sedia dimakan. Kafe yang dinamakan Chef Lyn Pastry & Cafe ini terletak di Seksyen 15, Bangi ini ditubuhkan pada tahun 2020. Bermula dengan diusahakan seorang diri, kini Chef Lyn Pastry & Cafe diuruskan bersama dua orang lagi pekerja. Namun bagi Chef Lyn, sebagai seorang yang teliti dalam aspek pembekalan bahan mentah, penyediaan makanan sehingga kepada pengurusan cafe secara keseluruhan, beliau lebih selesa di dapur dan di cafe selagi menguruskan cafe.
Dari nama kafe pun dah boleh agak apakah jenis perniagaan makanan yang diuruskan. Pelbagai pastri dan makanan selera tempatan dan barat juga terdapat di kafe ini. Selain mengusahakan kafe, Chef Lyn juga menghasilkan beberapa produk sedia dimakan yang boleh didapati dari Chef Lyn’s Pastry & Cafe dan beberapa pusat jualan lain seperti di Yakin Halal Mart Seksyen 7 Bangi dan Wow Fresh Mart Denai Alam. Keunikan produk Chef Lyn adalah ia segar, tidak kering dan buatan sendiri. Demi menjaga kualiti produk sedia dimakan ini, Chef Lyn sendiri menghasilkannya tanpa menggunakan khidmat kilang. Selain itu, pembungkusan produk-produknya menggunakan retort teknologi bagi melanjutkan jangka hayat produk itu.
Pentingnya Penjenamaan
Chef Lyn memilih penjenamaan Chef Lyn supaya orang mudah kenal dan mengaitkan nama Chef Lyn dengan industri perniagaan makanan dan minuman. Bagi Chef Lyn, penjenamaan memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan organisasi di mata awam. Ia adalah sebahagian daripada strategi perbelanjaan pemasaran bagi setiap perniagaan. Proses perancangan strategik yang berstruktur diperlukan dalam strategi penjenamaan. Usahawan harus membangunkan program pemasaran jualan dan promosi mesti sejajar dengan strategi perniagaan keseluruhan untuk mencipta nilai sesuatu jenama itu.
Pahit Manis Pengalaman Chef Usahawan
Bagi Chef Lyn, keperitannya adalah apabila pandemik yang menjejaskan perniagaannya. Walaupun terkesan dek SOP, perniagaan Chef Lyn masih berjalan. Asbab PKP, ramai usahawan dalam industri ini meneruskan perniagaan mereka secara dalam talian. Malah kaedah ini bukan sesuatu yang baharu. Menerusi platform digital seperti Shopee, Grab, FoodPanda, usahawan sedikit sebanyak dapat mempromosikan produk jualan mereka.

Bagi Chef Lyn, penjualannya merudum dan jatuh pada peringkat awal. Tetapi berkat usaha yang gigih, Chef Lyn mengambil tindakan untuk berubah alih kepada platform digital. Dengan menukar strategi pemasaran kepada yang lebih drastik, Chef Lyn mengumpulkan segala kekuatan dalaman dan meneruskan perniagaan.

Namun, langit tak selalunya mendung. Berkat usaha dan tawakal yang tidak pernah lelah membuahkan pengalaman yang manis kepada usahawan cekal ini. Antara pengalaman manis Chef Lyn adalah perjuangan untuk meneruskan perniagaan yang masih baru berusia 1 tahun 7 bulan, mendapat sokongan daripada keluarga dan sahabat usahawan di dalam BNI (Business Networking International), menjadikan beliau seorang chef usahawan yang berjiwa kental dalam mengharungi fasa-fasa pandemik sehingga sekarang.
Impian Chef Lyn & Pesanan Untuk Usahawan
Jika diizinkan dan diberi peluang, Chef Lyn juga mempunyai impian untuk memiliki kilang sendiri dalam menghasilkan produk-produknya. Dalam lima tahun akan datang, Chef Lyn berimpian dan berazam untuk mempunyai studio baking dan akademi Chef Lyn. Walaupun sudah bertukar status kepada seorang usahawan, sifat pendidik Chef Lyn masih tebal dan ingin meneruskan berkongsi ilmu dan pengalaman serta mendidik anak muda mahupun berusia dalam bidang seni kulinari, pengurusan makanan dan minuman serta pengurusan perniagaan berkaitan industri ini.

Bagi usahawan yang ingin mula berniaga, Chef Lyn berpesan untuk buat, buat, dan buat. Kekalkan fokus, usah berhenti belajar, jangan putus semangat, sentiasa mencari jalan penyelesaian dan buktikan dengan hasil. Tiada apa yang boleh menghalang jika kita benar-benar mahu realisasikan impian kita.
Impian, angan-angan hanya boleh menjadi realiti dengan memulakan tindakan. Sokongan daripada orang keliling akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan mencapai impian kita. Semoga semangat Chef Lyn Pastry & Cafe dapat menjadi inspirasi kepada usahawan industri makanan dan minuman di luar sana yang terkesan dek pandemik ini. Sematkan impian dan azam agar apa yang kita angankan akan berbuah suatu hari nanti. Tapi, perlu diingat juga, azam dan usaha tanpa petunjuk dan ilmu yang betul akan melambatkan perjalanan dan proses kita untuk berjaya. Kita perlulah sentiasa mencari ruang dan peluang dalam menambah ilmu bagi membolehkan perniagaan yang kita impikan terus kekal dan berjaya.
DDEC Sedia Membantu
Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan perkhidmatan penjenamaan dan latihan keusahawanan, hubungi kami di whatsapp atau dapatkan maklumat terkini di Facebook dan Instagram.
MALAYSIA DESIGN DEVELOPMENT CENTRE (DDEC)
NO. 22, JALAN KIA PENG,
50450 WILAYAH PERSEKUTUAN,
KUALA LUMPUR, MALAYSIA


Instagram: @ddecmalaysia
Facebook: fb.com/ddecmalaysia
Whatsapp: 017-680 4679
Share with:
VIEW
CLOSE