Selamat Datang
loading...

Seni lukisan tempatan kini makin diminati ramai. Antara penyumbang kepada peningkatan ini adalah kesedaran dan ilmu tentang nilai seni lukisan.

PELUANG BERMULA

Sebagai seorang pelukis, En Fadli bin Zulkapli mula menjual karya hanya di pasar malam.  Walaupun begitu, beliau hanya berniat untuk mencuba nasib. Nasib pula mendekatinya dan beliau mula mendapat tempahan dan jualan karyanya mendapat sambutan. Dari awal perniagaan, En Fadli mengusahakan perniagaannya seorang diri tanpa rakan kongsi, walaupun peluang memperkenalkan diri dan karyanya adalah melalui ajakan rakan untuk berniaga di pasar malam. Namun demikian, beliau masih berhubung baik dengan rakan tersebut yang kini menjalani haluan hidup tersendiri. Sejak dari saat itu, beliau telah menjual beratus karya lukisan kepada pelbagai pembeli.

JIWA HALUS, JIWA MENDIDIK

Industri seni dan lukisan tempatan tidak sehebat di rantau antarabangsa. Namun, itu tidak menjadi kayu ukur kepada En Fadli untuk meneruskan perjuangan beliau mengangkat nama Malaysia agar juga mempunyai industri seni lukisan dan catan yang setanding dengan peringkat antarabangsa. Beliau berpendapat, Malaysia juga layak disinonimkan dengan industri ini kerana kayanya Malaysia dengan pelbagai tradisi, budaya dan pengaruh sepanjang zaman yang boleh dijadikan inspirasi bakal pelukis. Beliau yang juga mensyarah dalam bidang Seni di salah sebuah universiti tempatan, yakin dengan menyampaikan ilmu yang sesuai kepada generasi baharu, industri ini diharapkan terus berkembang dengan kepesatan dan keunikan tersendiri melalui generasi akan datang.

USAHAWAN SENIMAN

Produk utama En Fadli adalah karya lukisan beliau. Inspirasi beliau kebanyakannya berpaksikan persekitaran sekeliling serta mengikut keinginan pelanggan sendiri. Perusahaan beliau turut menjual karya pelukis lain agar lebih ramai peminat lukisan sebegini kenal dengan pelukis tempatan lain. Karya seni lukisan juga tidak tertakluk pada satu jenis seperti watercolor, malah beliau turut menjual karya yang dihasilkan dengan media lain seperti akrilik, cat minyak, bitumen dan bahan campuran.

Selain hasil seni lukisan, beliau juga membangunkan barangan kraf. Bagi beliau, hasil seni kraf tempatan juga tidak kurang hebatnya jika digayakan dan dipasarkan dengan cara yang unik. Bagi beliau perlu untuk memperkenalkan keunikan produk kraf tersebut kepada orang ramai. Keunikan industri seni tempatan adalah, terdapat banyak lagi hasil kraf mahupun seni yang boleh dibangunkan dan diinovasikan mengikut peredaran zaman. Ini agar tradisi nenek moyang kita tidak pupus dan dilupakan.

Nilai hasil seni lukisan terletak pada kualiti tinggi penghasilan kerana ia tahan lama dan mempunyai pulangan nilai berganda menyusuri masa. Bagi setiap lukisan yang dihasilkan, sijil pengesahan atau authenticity certification yang ditandatangani turut diberikan. Setiap karya atau hasil seni yang terjual mempunyai nilai pelaburan dan pulangan yang tinggi dari semasa ke semasa. Itu sebabnya, peminat karya seni sebegini membelinya sebagai aset pelaburan.

blog-fadhli-002

ANTARA KARYA & KERJAYA

Dalam kesibukan meneruskan kerjaya sebagai seorang pensyarah, En Fadli masih boleh meluangkan masa untuk menghasilkan karya, sama ada yang ditempah atau pun bukan. Karya yang dihasilkan dilakukan di rumah atau di studio beliau. Sebagai seorang pelukis, beliau memerlukan beberapa tempoh masa untuk mendapatkan dan mencambahkan idea. Daripada proses itu, seterusnya beliau menterjemahkan idea tersebut di atas kertas atau kanvas. Ada kala beliau menghasilkan satu per satu karyanya. Di masa lain, ada juga beliau siapkan secara pukal. Tempoh masa yang beliau perlukan untuk menghasilkan lukisan adalah dalam masa dua hingga sepuluh hari.

Bagi menjual karya beliau, En Fadli lebih gemar menggunakan ruang iklan Facebook, melalui brosur dan cadangan rakan-rakan. Ini kerana industri seni tempatan tidak besar mana dan sasaran pelanggan juga tertumpu kepada kumpulan tertentu termasuk peminat karya seni. Walau apa pun industri keusahawanan yang diceburi, En Fadli berpendapat strategi pemasaran harus beredar ikut perubahan zaman. Beliau sendiri aktif menggunakan rangkaian media sosial seperti Instagram dan Facebook sebagai hebahan dan pengiklanan.

blog-fadhli-003

Selain itu, beliau bakal membangunkan laman web agar produk beliau dikenali ramai dan para pembeli boleh mendapatkan hasil karya beliau melalui laman web. Penjenamaan juga penting bagi pelukis seperti beliau yang bukan sahaja melukis, malah turut menjual hasil seni lain. Oleh itu, beliau lebih senang menggunakan jenama art by fadlizulkapli. Secara tidak langsung, jenama ini merujuk kepada pengkarya dan produknya. Kan mudah orang ramai nak kenal dan ingat.

KERJASAMA DENGAN DDEC

Sebagai seorang pengusaha seni tempatan, En Fadli turut menjual hasil karya beliau di platform jualan atas talian. Hasil karya beliau boleh didapati di DDEC online store yang dikenali sebagai artsen.my. DDEC membantu beliau dengan membangunkan jenama, melakukan fotografi untuk disesuaikan di platform ini. Walaupun platform ini masih baharu, namun profesionalisma pegawai DDEC sangat membantu beliau dan memudahkan sebarang urusan beliau menyertai artsen.my. Beliau menyifatkan DDEC sebagai tidak banyak kerenah dan mudah berikan kerjasama bagi menyelesaikan setiap perkara. DDEC juga memberi peluang kepada usahawan untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

DALAM KENANGAN & PENGALAMAN

Pada hari pertama jualan langsung hasil karya, En Fadli pernah disaman dan dihalau oleh penguatkuasa tempatan. “Hari pertama lagi sudah begitu”, kata En Fadli. Namun, beliau tidak patah semangat, malah berkobar-kobar semangat untuk meneruskan jualan karyanya. Selain pengalaman ini, ada juga saat dan ketika di mana karya ditempah tetapi tiada bayaran deposit, bayar separuh dan yang tak berbayar pun ada.

Langit tidak selalu mendung. Antara kenangan manis beliau adalah menerima tempahan hasil karya dari salah seorang ahli muzik kumpulan Iklim, menerima tempahan mural daripada syarikat gergasi tempatan (Petronas), dapat berkolaborasi dengan beberapa pelukis terkenal tanah air untuk aktiviti seni dan diberi kepercayaan menjadi curator bagi persatuan seni tanah air.

blog-fadhli-004

ETIKA USAHAWAN

Setiap hasil karya yang ditempah mahupun yang dihasilkan untuk jualan langsung, dihasilkan dengan penuh ketelitian. Ini prinsip yang dipegang oleh En Fadli. Dengan menggunakan bahan dan media berkualiti tinggi, hasil karya lukisan turut dapat bertahan lama. Barulah berbaloi dengan harga. Bagi tempahan pula, hasil karya harus dapat dihasilkan dalam tempoh masa yang dijanjikan, dalam masa yang sama menjaga kualiti dan hasilnya. Barulah pelanggan puas hati dan menghebahkan kepada orang lain pula, hendaknya begitulah.

MASA DEPAN & NASIHAT

En Fadli berhasrat untuk mewujudkan sebuah galeri untuk penghasilan karya, produksi, pameran dan memasarkan karya seni kepada pelanggan. Beliau turut berharap dapat membangunkan sebuah katalog untuk memudahkan pembeli membuat pilihan dan berimpian untuk menghiasi dinding rumah-rumah kenamaan, kediaman, pejabat kerajaan dengan hasil seni beliau.

Beliau turut berpesan kepada usahawan baharu untuk memulakan perniagaan dengan apa saja kemahiran sedia ada dan elakkan membuat pinjaman di awal perniagaan.

DDEC BANTU USAHAWAN BERMULA

Untuk bergelar seorang usahawan, tidak kiralah bagaimana, apa dan dimana anda memulakannya. Selagi ada tekad dan minat, tidak mustahil suatu hari nanti anda akan bergelar seorang usahawan berjaya. Apa yang penting, sebelum bermula carilah ilmu agar jalan yang ingin ditempuh kelak anda sudah bersedia dengan onak dan durinya. Di DDEC, kami membantu para usahawan yang baharu atau yang sudah bermula dengan pelbagai khidmat yang diperlukan seorang usahawan. Kami menyediakan khidmat reka bentuk yang meliputi Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Jenama untuk membantu usahawan bergerak dengan lebih yakin di dalam meneroka peluang-peluang yang ada. Nak DDEC bantu anda? Hubungi kami sekarang di whatsapp 017-6804679 atau layari website kami di www.ddec.my untuk maklumat lanjut. Jangan lupa follow, like dan share Facebook dan Instagrame ddecmalaysia untuk mengetahui tentang aktiviti kami.

Berminat Untuk Mendapatkan Perkhidmatan DDEC?

HUBUNGI KAMI

SEKARANG!

Share with:
VIEW
CLOSE