Selamat Datang
loading...

Kerja Kuat Tanpa Takutkan Kegagalan

Kejayaan keusahawanan boleh datang daripada pelbagai punca. Namun kekentalan menghadapi rintangan dari usia muda adalah pengalaman hidup yang paling berharga buat seseorang usahawan.

Apabila ditimpa kesusahan, fitrah manusia akan mengeluh dengan kepayahan yang dihadapinya. Namun ada segelintir golongan yang mengeluh sebentar dan berusaha untuk mengubah kehidupan tersebut. Golongan ini biasanya mempunya semangat kehidupan yang kuat dan kemahuan serta fokus yang tinggi. Tuan Haji Wasli bin Ibrahim adalah antara yang tergolong dalam kalangan ini. Beliau merupakan pemilik kepada PAWADA Food Industries Sdn Bhd.

Berasal dari Kuching, Sarawak, beliau mula berjinak dalam bidang perniagaan seawal usia sekolah rendah. Pada ketika itu, beliau merasakan perlu membantu menambahkan kewangan keluarga dengan menjadi seorang yang berdikari. Semasa beliau berada di sekolah rendah, beliau sudah pun mengambil upah menjaja kuih-muih dan aiskrim. Apabila beliau mula mendapat upah, beliau rasa teruja dan gembira kerana dapat wang saku dan bantu kewangan keluarga. Sejak dari saat itu, perniagaan sering menjadi topik penting bagi beliau kerana percaya perniagaan dapat menjana pendapatan yang banyak.

Kerja Sambil Niaga

Sebaik selesai menduduki MCE, beliau membuka gerai kecil di bahu jalan berdekatan dengan sekolah yang menjual makanan ringan. Selepas itu, beliau mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah kedai runcit kecil di kampung. Namun, beliau hadapi kekangan kewangan. Beliau mula bekerja bagi menampung perniagaannya. Semasa beliau bekerja, ibunya membantu menguruskan kedai runcit tersebut. Pendapatan beliau di JPJ digunakan untuk mengembangkan perniagaan sedikit demi sedikit.

Pada ketika itu, beliau bekerja sebagai ‘Vehicle Examiner & Driver Tester” di JPJ dan pernah ditawarkan untuk menjalani latihan teknikal kenderaan di Tokyo, Jepun. Namun, minat beliau adalah terhadap perniagaannya. Maka, beliau menolak tawaran dan meletakkan jawatan untuk menumpukan fokus kepada perniagaan.

Perniagaan Berkembang

Sedang beliau rancak menguruskan  kedai runcit, Tn Haji Wasli menerima tawaran menjadi menjadi ejen dan pengedar gas Petronas di Sarawak. Segalanya berlaku pada 1983 dan sehingga sekarang, Pawada General Trading merupakan syarikat milik beliau yang menjadi pengedar utama dan terbesar gas Petronas di bumi kenyalang itu.

Dari kedai runcit, Tn Hj Wasli mengembangkannya menjadi sebuah pasar mini yang dinamakan PAWADA Mini Market. Pada ketika itu, ia merupakan pasar mini milik Melayu yang pertama berada di Sarawak. Sejak saat itu, Tn Hj Wasli lebih bersemangat untuk menceburi industri F&B kerana beliau mendapat inspirasi daripada Tun Dr. Mahathir yang menggesa kaum Melayu untuk meneroka industri tersebut.

Justeru itu, beliau telah membuka sebuah kilang di Bintawa Industrial Estate di bawah syarikat Pawada Food Industries. Kilang tersebut menghasilkan sos, kicap dan kordial yang dibekalkan ke sekolah-sekolah di seluruh negeri Sarawak. Kini, kilang tersebut turut menghasilkan produk makanan berasaskan lada hitam dan daging.

Produk PAWADA

Antara produk Pawada yang menarik adalah Corned Daging. Corned daging merupakan daging samada daging lembu, kambing atau ayam yang dimasak dengan perasa asas seperti garam di dalam tin. Produk corned daging ini adalah sejenis produk yang sedia untuk dimakan. Ia juga boleh dipelbagaikan menjadi lauk mengikut kreativiti masing-masing.

Variasi produk Corned oleh Pawada terdiri daripada Corned Daging Lembu (Corned Beef), Corned Ayam (Corned Chicken) dan Corned Kambing (Corned Mutton). Syarikat Pawa Canning merupakan syarikat Bumiputera perintis dalam pembuatan daging dalam tin Halal di Malaysia, yang mana industri ini dimonopoli oleh pengimport luar negara.

Produk Corned ini dihasilkan dengan menggunakan daging yang diimport dari luar negara. Daging yang digunakan adalah daging beku tanpa tulang. Daging tersebut akang melalui proses seperti flaking, parboil, mincer, mixing, filling seamer. Ia diakhiri dengan proses retort. Proses retort adalah satu teknologi yang digunakan untuk memasak daging dalam tin. Teknologi ini juga dapat mematikan bakteria (jika ada) dan memanjangkan ketahanan produk sehingga 3-5 tahun.

Jenama PAWADA bersama DDEC

Sepanjang menguruskan perniagaan, jenama merupakan perkara asas yang perlu ada supaya orang mudah mengenali perniagaan kita. Tn Hj Wasli turut berpendapat bahawa penjenamaan adalah elemen penting kerana ia adalah identiti kepada produk. Sebagai contoh sebut saja nama PAWADA di Sarawak, ramai yang kenal dan tahu kerana beliau telah menggunakan nama yang sama dari awal berniaga sehingga kini. Nama PAWADA adalah hasil gabungan nama keluarga beliau. Walaupun PAWADA telah berada di pasaran umum lebih 4 dekad, Tn Hj Wasli turut peka dalam perubahan pasaran dan PAWADA turut berada di semua media sosial.

Dalam usaha untuk menembusi pasaran antarabangsa, PAWADA pernah mendapatkan perkhidmatan menaiktaraf reka bentuk pembungkusan produk Corned melalui Program TRADEX bersama Teraju dan DDEC. Reka bentuk pembungkusan produk Corned dinaiktaraf untuk meningkatkan nilai komersil produk serta lebih relevan di peringkat antarabangsa. Sepanjang program berlangsung, beliau berpeluang mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan profesional daripada pegawai DDEC yang mesra usahawan.

Pengalaman Bergelar Usahawan

Bagi Tn Hj Wasli, kegagalan menjalankan perniagaan seperti yang dirancang menjadikan beliau lebih matang dan kuat untuk hadapi cabaran seterusnya. Dalam setiap kegagalan pasti ada pengajaran dan ilmu yang berkesan secara tidak langsung. Bagi beliau, setiap detik melalui perjalanan sebagai usahawan dianggap manis, lebih lagi jika beliau mengimbau bagaimana beliau bermula dengan ilmu yang minima serta modal yang kecil jika dibandingkan dengan situasi sekarang.

Pegangan PAWADA & Nasihat Tn Hj Wasli

Tn Hj Wasli hanya percaya bahawa kehidupan yang lebih baik boleh diraih dengan keberanian. Apa pun rintangan yang terbentang di hadapan beliau, beliau usahakan untuk mencari jalan atau ilmu untuk mengatasinya. Pegangan beliau sepanjang kehidupan dan perniagaan adalah bekerja kuat tanpa takut akan kegagalan. Beliau juga berpegang kepada sentiasa mahukan kejayaan dalam perniagaan dan ingin terus bangun dalam perniagaan.

Tn Haji Wasli menasihatkan para usahawan untuk memulakan apa sahaja usaha sedari usia muda. Ini kerana pada usia mudalah anak mudah seharusnya mempunyai ketahanan diri yang kuat untuk terus bangun jika dirintangi kegagalan. Selain itu, para usahawan harus bersikap tak mudah putus asa dan sanggup belajar untuk memperbaiki diri. Dengan elemen-elemen begini, dengan izinNya mereka akan menjadi usahawan yang berdaya tahan dan berdaya saing dan mudah-mudahan terus maju dalam apa jua cabaran yang mendatang.

Harapan Masa Depan

Seperti kebanyakan pemilik perniagaan, Tn Hj Wasli turut berharap agar perniagaan yang dibangunkan beliau dapat diteruskan oleh anak-anak apabila beliau bersara nanti. Antara misi dan visi beliau adalah untuk memasarkan produk Corned ke semua pasaran komuniti Islam di seluruh dunia dan mungkin satu hari berjaya menjadi sebuah syarikat tersenarai awam di Bursa Saham Kuala Lumpur.

DDEC Mereka Bentuk Untuk Pasaran Antarabangsa

Bagi produk yang telah dikenali ramai di pasaran tempatan, pasti akan memerlukan naiktaraf label atau pembungkusan agar boleh diterima dengan baik di pasaran antarabangsa. DDEC menawarkan perkhidmatan reka bentuk pembungkusan yang setaraf dengan jenama di pasaran antarabangsa serta mengikut standard yang ditetapkan di pasaran eksport yang diinginkan. Nak DDEC bantu anda? Hubungi kami sekarang di whatsapp 017-6804679 atau layari website kami di www.ddec.my untuk maklumat lanjut. Jangan lupa follow, like dan share Facebook dan Instagram ddecmalaysia untuk mengetahui tentang aktiviti kami.

Kongsikan artikel ini:

Berminat Untuk Mendapatkan Perkhidmatan DDEC?

Share with:
VIEW
CLOSE