Walaupun trend boleh berubah, tetapkan fokus pada matlamat dan berubah ikut kesesuaian perniagaan.
Sebagai seorang yang aktif mengikut rombongan kerja ke luar negara, khidmat bekas jurulatih pasukan gimrama negara ini amat dihargai kerana ramai anak didiknya telah berjaya dalam hidup. Sewaktu masih berkhidmat, Puan Fatimah Mokhter ini kerap ke luar negara atas nama tugasan. Pada ketika mula-mula ke negara luar, pasti ada terasa teruja untuk mencuba makanan luar negara.
Namun, pada tahun 80an dan 90an, pilihan makanan adalah terhad. Malah, beliau sering merasa payah untuk mendapatkan makanan bercili atau berempah ketika berada di luar negara. Orang kata, jika sudah meminati makanan bercili atau berempah, ke mana jua pun pasti tercari-cari yang hampir serupa.
Bagi sesetengah golongan masyarakat, makanan bercili atau berempah ini adalah menu wajib yang ada bersama mereka, walau merantau ke hujung dunia sekali pun. Lagi-lagi jika ada cara masakan tertentu yang memang diminati, masakan tersebut sudah tentu menjadi kegemaran jika dapat dikomersilkan.

Peluang Dari Rewang Kampung
Bagi Puan Fatimah, boleh dikatakan beliau memperoleh peluang untuk memulakan perniagaan daripada keluarganya sendiri. Keluarga beliau adalah dari golongan tukang masak rewang di kampung. Maka masakan kenduri kendara itulah yang menjadi kegemarannya sepanjang hayatnya. Walaupun sudah ada produk seakannya di pasaran, Puan Fatimah yakin bahawa produk ilham masakan kendurinya masih boleh menawan pelanggan.
Sebagai seorang usahawanita tunggal, beliau menguruskan perniagaannya tanpa rakan kongsi. Bermula pada 2018, Puan Fatimah membina Palmira Food Networks dari perusahaan yang kecil. Palmira Food Networks kini telah berkembang dan mengeksport produk ke medan antarabangsa. Antara produk yang dikeluarkan oleh Palmira Food Networks adalah Sambal Tumis, Sambal Ikan Bilis, Sambal Ikan Masin, Sambal Garing Ikan Bilis, Emping Cili Udang Kering, Emping Cili Ikan Masin, Acar Berempah Cili, Acar Berempah Ikan Masin dan Acar Berempah Petai.
Kini produknya boleh didapati di luar negara dan makin diminati ramai. Resepi pembuatan produk pula adalah mengikut resepi keluarga dan teknologi pembungkusan digunakan untuk menghasilkan produk yang tahan lebih lama.
Proses Pembuatan Ikut Standard

Untuk mendapatkan hasil produk yang baik, Puan Fatimah harus memastikan semua aspek terjaga kualitinya. Demi menjaga trade secret, beliau membangunkan kilang sendiri untuk menghasilkan produk Palmira. Kesemua produk dimasak di premis Palmira dan semua proses memasak mengikut SOP yang ditetapkan untuk menjaga kualiti produk dari segi rasa, tekstur dan jangka hayat.
Pemilihan bahan mentah hanya dibeli dari pembekal yang ditetapkan. Ini adalah prosedur standard operasi yang telah ditetapkan sendiri oleh Puan Fatimah selepas beberapa kali mengharungi cabaran yang berkaitan. Ia tidak lain tak bukan untuk memastikan kualiti penghasilan adalah yang terbaik dan konsisten. Hasil produk yang konsisten akan meneruskan kepercayaan pelanggan terhadap jenama dan reputasi Palmira.
Jenama Bernada Antarabangsa
Pilihan nama jenama Palmira adalah berasaskan maksud nama tersebut. Palmira adalah nama yang banyak digunakan untuk anak perempuan dalam bahasa Sepanyol. Maksud nama Palmira adalah wanita yang tidak beputus asa.
Maksud tersebut sangat dekat dengan peribadi peribadi yang mana beliau rasa ini merupakan perjuangan untuk mengetengahkan produk berasaskan cili dan rempah ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Dengan bunyi yang menarik dan mudah disebut, beliau berharap jenama Palmira mudah dan senang diterima oleh masyarakat antarabangsa dan juga Malaysia.
DDEC dan Palmira

Asam Garam Pengalaman

Bagi Puan Fatimah beliau menganggap sepanjang menguruskan perniagaan ini sebagai kenangan manis, kerana ia membuatkan beliau sentiasa on the toes. Ini bermaksud ada sahaja perkara baharu yang memerlukan perhatian beliau. Beliau berpendapat ini perkara begini menyumbang kepada warna-warna kehidupan beliau sehari-harian. Namun, beliau pernah melalui pengalaman perit ditipu bangsa sendiri atas nama bisnes. Apakan daya, tanpa pengalaman perit, tiadalah pengajaran untuk diingati sampai bila-bila.
Beliau hanya berpegang kepada prinsip untuk jujur dalam apa pun aspek perniagaan dan memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Beliau juga sentiasa mengemaskini cara menembusi pasaran pelanggan agar tidak ketinggalan dalam trend di pasaran.
Pandang ke Depan
Puan Fatimah juga berhasrat untuk menjadi pakar produk berasaskan rempah dan cili, hasil daripada perniagaan ini. Selain itu, Puan Fatimah juga bercita-cita untuk mewujudkan kilang OEM bertaraf antarabangsa supaya produk yang dihasilkan boleh menembusi pasaran antarabangsa atau menerima tempahan dari pasaran antarabangsa.
Di samping itu, beliau menasihatkan bagi para usahawan yang ingin mulakan perniagaan agar bermula kecil-kecilan dahulu. Biarpun menjual produk orang lain, gunakan pengalaman berniaga tersebut untuk menjadi asas kepada mula berniaga menjual produk sendiri. Hendak menghasilkan produk sendiri bukan mudah, banyak faktor yang perlu diambilkira lebih-lebih lagi keutuhan kewangan. Beliau juga menasihati, sekali pun mempunyai modal yang besar, mulakan perniagaan secara kecil agar tidak menyesal kemudian hari. Ilmu perniagaan juga perlu sentiasa dicari dan ditambahkan pada diri dan rajin ambil peduli perihal berkaitan ekonomi dunia kerana ia juga penyumbang kepada trend pasaran.