Selamat Datang
loading...

Trend Pemasaran Digital Negara Kita

Siapa sangka pandemik yang telah berlaku menjadi pendorong kepada trend pemasaran baharu.

Nak kata baharu sangat tu tidak, cuma dek kerana terpaksa ikut perintah keselamatan kesihatan, penjual yang bergegas capai peluang untuk memasarkan produk secara digital. Jadi kata kunci di sini adalah pemasaran digital.

 

Anda sedia maklum bahawa pemasaran digital bukan perkara baharu. Cuma ia berlaku dengan pantas kerana kita terpaksa. Yang terpaksa hadap adalah kedua-dua pihak, pembeli dan penjual. Agensi pemasaran pun sama terlibat. Jika selama ini membina platform digital hanya sekadar ada dan mencapai KPI, sekarang tidak lagi. Platform pemasaran digital sekarang penting kerana bukan sahaja memudahkan pembeli, peluang nak pasarkan ke negara luar pun boleh. 

Maka, jom kita selami sedikit sebanyak trend pemasaran digital yang berlaku di negara kita. Usah bimbang, kita bincang santai-santai aje. Tapi fakta tetap fakta. Maka kita ambil yang membantu kita, kita usahakan peluang yang ada. 

Pemandangan Pemasaran Digital di Malaysia

Di rantau Asia, Malaysialah yang mempunyai kadar penembusan internet tertinggi dengan hampir 90% daripada populasi seramai 33 juta. Dan seramai 30 juta adalah pengguna media sosial. Tak ke hampir semua rakyat jelata ada akaun media sosial tuh? 

 

Asbab peningkatan teknologi, kita sendiri dapat lihat trend yang menaik dari aspek perhubungan mudah alih, pengguna Internet dan pengguna aktif di media sosial. Inilah yang menjadi asas untuk meneraju kejayaan pemasaran digital di Malaysia. Barulah perniagaan anda ada peluang untuk sampai ke pengguna di seluruh negara. 

 

Fakta Bukan Auta

Berikut adalah fakta-fakta yang berkaitan dengan rakyat dan penggunaan media digital. Apa nak buat dengan fakta ni? Baca dulu, nanti kita bagi fahamkan lebih lanjut. 

 

A. Rakyat Malaysia meluangkan masa secara purata 9 jam 10 minit setiap hari di ruang Internet.

 

B. Mereka menghabiskan masa selama 3 jam dan 18 minit untuk menonton video.

 

C. Pengguna media sosial menghabiskan masa selama 3 jam dan 2 minit di laman media sosial. 

 

D. 57.4% pengguna Internet Malaysia melayari rangkaian media sosial untuk mencari maklumat tentang produk dan jenama. 

 

Secara amnya, pengguna media digital sekarang tak mempunyai tahap fokus yang panjang. Nak pengguna tertumpu kepada jenama anda? Gunakan video pendek dalam strategi pemasaran anda. Berdasarkan kajian, video iklan selama 6 saat adalah yang terbaik, asalkan info nya padat dan lengkap. Antara platform video yang sangat popular adalah YouTube dan TikTok.

Platform Digital Popular

Cuba teka laman web mana yang paling kerap digunakan oleh orang Malaysia? Google! Sampai dalam bahasa perbualan pun dah ada perkataan ‘gugel’. Sama juga dalam kamus Oxford yang dah iktiraf perkataan ‘google’ sebagai salah satu perkataan yang merujuk kepada mencari maklumat melalui laman web Google.

Sebanyak 81.6% rakyat Malaysia menggunakan Internet untuk mencari maklumat. Maka, tak hairanlah Google yang memang dah pun ternama, menjadi pilihan pertama rakyat Malaysia dengan lawatan sebanyak 7.25 billion dan hampir 98% bahagian pasaran carian. Carian Google diminati sebab ianya menggunakan antara muka yang ringkas dan mudah untuk semua peringkat usia. 

Nota untuk penjual / pengusaha produk: Gunakan platform ini untuk mencapai pengguna melalui Search Engine Marketing (SEM)


Selain daripada Google, platform media sosial menjadi pilihan pengguna media digital orang kita. 

Ranking media sosial yang popular di Malaysia

1. Facebook – 88.7%
2. Instagram – 79.3%
3. YouTube – 71.6%
4. TikTok – 53.8%
 
Yang ini pula platform perbualan yang popular di Malaysia

1. WhatsApp – 93.2%
2. Telegram – 66.3%
3. Facebook Messenger – 61.6% 

(peratusan adalah daripada jumlah penduduk Malaysia)

Jangan pula kita lupakan platform pasaran atas talian yang digemari ramai, Shopee. Ia diikuti oleh Lazada dan lain-lain. Betul tak jika saya katakan, ramai antara kita lebih kerap melayari Shopee daripada platform lain-lain bila sampai tarikh-tarikh tertentu atau bila terfikir untuk berbelanja?

Peluang Pemasaran Secara Digital

Jom kita kupas satu persatu peluang yang ada. Kena ingat satu perkara asas, pemasaran TIDAK semestinya bertukar kepada peningkatan jualan. Jadi, pemasaran patut dijuruskan kepada meningkatkan kesedaran kewujudan jenama kepada pengguna dan orang ramai.

 

 

YouTube

Bagi mereka yang berada dalam industri hiburan dan yang seangkatannya, harus berada dalam platform YouTube. Yang penting, kena rajin wujudkan kandungan yang ditujukan kepada golongan tertentu. 

 

Facebook

Sebagai peneraju media sosial, Facebook boleh mencapai capaian berpotensi seramai 21.7 juta pengguna FB Malaysia melalui iklan. Kebanyakan pengguna FB berusia antara 25 hingga 34 tahun. 

 

Instagram 

Orang kita ni suka bergambar dan suka ambil gambar. Di mana lagi nak tayang kalau bukan di IG. Mengikut kajian, kebanyakan pengguna IG adalah wanita, mengikut industri masing-masing juga. Walaupun ramai pengguna IG rata-rata nya berumur 50 ke bawah, makin ramai warga berusia yang turut menggunakan IG sekarang ni. Jadi penjual boleh lah gunakan peluang ini untuk mencapai golongan ini. 

 

TikTok

Walaupun agak baru di pasaran media digital, TikTok menjadi popular dalam kalangan pengguna yang lebih muda, iaitu berusia antara 16 hingga 24 tahun. Jika anda ingin fokus kepada golongan ini, gunalah TikTok.

DDEC Bangunkan Jenama Melalui Media Digital

Dengan kepantasan dan keperluan untuk berada di arena digital, ramai para usahawan yang mungkin tertanya-tanya apakah yang boleh mereka lakukan. DDEC memegang mandat untuk membantu usahawan bangunkan jenama termasuk melalui media digital. Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan ini, layari www.ddec.my/perkhidmatan dan ikuti kami di laman media sosial ddecmalaysia di YouTube, Facebook dan Instagram. 

 

Berminat Untuk Mendapatkan Perkhidmatan DDEC?

Share with:

No Comments

Leave A Comment

VIEW
CLOSE