Selamat Datang
loading...

13 Langkah Proses Reka Bentuk

Baik usahawan Malaysia mahupun masyarakat umum, boleh pelajari asas proses reka bentuk agar lebih memahami jiwa dan perasaan si pereka bentuk.
Bidang reka bentuk bukan lah bidang baharu di Malaysia. Ia telah lama bertapak, namun industri ini masih kecil berbanding dengan negara-negara maju. Namun, industri reka bentuk Malaysia boleh dibanggakan kerana kita sedia ada budaya yang kaya dengan pelbagai seni rekaan. Oleh kerana pengajaran teknik reka bentuk kini searus dengan zaman moden, proses reka bentuk yang terkini lebih mudah dan ringkas untuk difahami ramai pihak.

Bila sebut sahaja reka bentuk, ramai antara kita yang nampak logo, risalah dan grafik. Namun, tahukah anda bahawa setiap perkara di sekeliling kita di reka untuk tujuan tertentu? Sebelum sesuatu reka bentuk dapat disiapkan, setiap projek yang melibatkan reka bentuk perlu melalui proses tertentu. Barulah dapat hasil yang terbaik. Setiap langkah dalam proses reka bentuk akan memudahkan urusan langkah seterusnya. Macam mana? Haaa, nak cerita lah ni.
Dah Sedia? Jom Mulakan.
Langkah 1

The Brief. Brief ini maksudnya pengambilan segala maklumat daripada usahawan Malaysia atau pelanggan tentang produk, sasaran pengguna dan spesifikasi hasil kerja. Dari seawal projek akan ada seorang pengurus projek yang memantau segalanya termasuk menyampaikan status projek kepada pelanggan.

Langkah 2

Kaji selidik pasaran. Eh ini bukan melibatkan jawab soalan. Tidak, di sini lah bermulanya tugas si pereka bentuk untuk mengkaji segala maklumat yang diperolehi daripada pengurus projek. Senang cerita, nak hadamkan Brief dan mengumpulkan seberapa banyak maklumat daripada mana-mana sumber dan mengkaji kehendak pelanggan.

Langkah 3

Moodboarding. Bukan skateboarding ya. Bukan jugak naik papan ikut mood. Moodboard ini adalah ruang yang mana kita letakkan apa sahaja sumber gambar, warna, susun atur dan bentuk huruf dalam satu tempat. Tujuannya, untuk mendapatkan arah visual yang lebih jelas untuk langkah seterusnya.

Langkah 4

Sesi brainstorm. Dalam sesi brainstorm ni, pereka bentuk bersama-sama dengan pengurus projek dan beberapa lagi ahli fikir lain akan berkongsi idea. Walaupun sudah ada brief, namun, sesi ini penting agar kehendak pelanggan itu jelas tepat dengan inspirasi si pereka ni tadi. Baru lah orang kata, citarasa bertaut.
Kebebasan Kreativiti
Langkah 5

Thumbnailing. Haa bila dah sampai ke peringkat ini, reka bentuk yang dinantikan dalam bentuk visual mula la dihasilkan. Si pereka bentuk pun ada kebebasan untuk hasilkan beberapa pilihan reka bentuk yang menurut citarasa tadi.

Langkah 6

Pembangunan konsep. Jika tadi pereka boleh bebas menghasilkan apa sahaja reka bentuk yang tergolong dalam citarasa. Kini, setiap pilihan reka bentuk yang disiapkan akan diteliti bersama pengurus projek atau pereka kanan samada sesuatu reka bentuk boleh diteruskan atau tidak.

Langkah 7

Visual Exploration. Kembara ke alam visual? Bukan, jauh sekali. Langkah ini bermaksud visual yang hampir menyerupai kehendak pelanggan. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan adalah usahawan Malaysia yang memohon untuk reka bentuk balang kerepek, di saat ini lah reka bentuk yang disusun atur bersama gambar dan logo mula nampak seperti label produk.

Langkah 8

Memperhalusi Konsep. Tadi ada pembangunan konsep, kan? Bila sudah dibangunkan dan disusun menyerupai kehendak pelanggan, kita sampai ke peringkat memperhalusi konsep rekaan. Di sini, segala maklumat yang penting tentang produk akan dimasukkan ke dalam rekaan oleh pereka bentuk.
Perjumpaan Seterusnya
Langkah 9

Maklum balas pelanggan. Pada langkah ini, pengurus projek akan berjumpa dengan pelanggan bagi mendapatkan maklum balas tentang keseluruhan reka bentuk. Setiap komen dari pelanggan perlu dicatit dan diperjelaskan agar komen yang tepat dapat difahami oleh semua pihak.

Langkah 10

Pembetulan. Setelah mendapat komen dan maklumbalas pelanggan, pengurus projek skali lagi akan duduk bersama dengan pereka tentang apa yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan. Sebaiknya di peringkat ini, pembetulan atau pembaikan reka bentuk perlu diamati oleh pengurus projek supaya selari dengan komen pelanggan tadi.

Langkah 11

Kelulusan daripada pelanggan. Setelah siap segala pembetulan dan penambahbaikan, pengurus projek akan bertemu lagi dengan pelanggan bagi mendapatkan kelulusan ke atas rekaan ini. Pelanggan akan diminta untuk menurunkan tandatangan tanda setuju serta meluluskan rekaan. Walaupun nampak seperti sudah hampir selesai, si pereka bentuk belum boleh menarik nafas lega.

Langkah 12

Persiapan Terakhir. Nama je terakhir, belum sampai garisan penamat lagi. Setelah mendapat kelulusan rekaan, kini si pereka perlu menyiapkan rekaan ini menjadi final artwork (FA). FA melibatkan ketetapan ruang lebihan rekaan (bleed), ruang maklumat pencetak (slug), garis pemotong (crop), susunan teks, huruf dan yang berkaitan dengannya (typesetting) serta garis lipatan, jika ada (fold mark). Tidak semua pereka bentuk mahir dalam menyediakan FA, hanya yang benar-benar berpengalaman dapat menyediakan FA yang mudah difahami oleh pencetak.

Langkah 13

Penghasilan. Langkah ini tidak semestinya melibatkan pereka bentuk, namun sebaik sahaja fail rekaan tiba di tangan pencetak, pereka bentuk mungkin hadir di kilang percetakan untuk melihat hasil reka bentuk mereka dalam proses penghasilan terakhir.
Reka Bentuk Sebagai Penyelesaian Usahawan Malaysia
Akhirnya, dah sampai pun ke garisan penamat. Mungkin ada yang berpendapat, ada langkah-langkah yang boleh dipermudahkan, tapi ini lah turutan proses reka bentuk yang dilakukan di DDEC. Proses ini penting agar pelanggan DDEC boleh faham dengan jelas apakah yang sedang berlaku di sebalik tabir. Namun, diingatkan setiap projek akan ada budi bicara masa yang ditetapkan. Walau apa pun, setiap pereka bentuk di DDEC mampu memberikan yang terbaik demi manfaat usahawan Malaysia.
Share with:
VIEW
CLOSE