Selamat Datang
loading...

Budaya Tempat Kerja Orang Malaysia

Setiap pekerjaan seharusnya ada darjah kemuliaan daripada setiap individu yang mengerjakannya. Namun, di mana sahaja tempat kerja kita, pasti ada budaya kerja yang kita perlu hadapi atau kita sendiri yang menghidupkannya.

Secara umumnya, kita bekerja selama 9 jam sehari, termasuk 1 jam waktu makan tengahari. Jadi, sepertiga daripada seharian kita, kita habiskan masa di pejabat atau tempat kerja. Bagi mereka yang bekerja dari rumah, sejak pandemik, fokus mereka tetap pada kerja selama 8 jam, cumanya kelebihan mereka tak perlu pun hadap perjalanan ke tempat kerja. Situ untungnya mereka ini.

Bagi yang perlu masuk pejabat, ada beberapa jenis budaya tempat kerja yang biasa dihadapi di pejabat-pejabat di Malaysia. Jom kita kenali dan amati jika ada antara budaya ini yang berlaku di tempat kerja anda.

Boleh, Boleh, Takde Hal

Jaranglah kita dengar pekerja yang cakap tak boleh bila diberikan tugas, melainkan dia benar-benar tak mampu melakukannya. Kebanyakan daripada pekerja di Malaysia, akan sebut boleh dengan penuh keyakinan. Adakalanya, kita pun meragui jawapan tersebut. Lebih lagi jika si pekerja tu pernah ada sejarah tak menyiapkan tugasan. Tapi inilah budaya yang kerap kita hadapi di tempat kerja. Sebaiknya bagi majikan, tetapkan tarikh melaporkan progress supaya semua yang terlibat dapat siapkan tugasan ikut garis masa yang ditetapkan.

Sampai Lewat ke Tempat Kerja

Alasan paling kerap digunakan, jalan jemlah! Jika diambil kira kedudukan rumah dan perjalanan yang memang kena lalu lebuhraya bertol, ini alasan yang logik. Ini kerana, lebuhraya bertol di Lembah Klang lebih sesak daripada laluan tanpa tol. Tapi sejak transisi masuk fasa endemik ni, menjadi-jadi kesesakan jalan raya, lebuhraya, dan di mana sahaja. Mungkin ramai serik nak duduk rumah. Walaupun polisi kerja bermula jam 9 pagi, ada saja yang sampai lewat (hampir tiap-tiap hari). Percayalah, agak mustahil hendak sampai tepat waktu kerja bermula atau lebih awal jika urusan pagi termasuk menghantar anak ke pusat transit atau sekolah yang rata-rata buka pintu jam 7.30 pagi.

Terlelap Lepas Makan Tengahari

Eh, ini bukan budaya yang pasti ya. Tetapi, orang Malaysia kalau makan tengahari memang makan nasi. Nasi ni pulak bila dimakan macam tiada had. Maka terjadilah adegan menahan mengantuk bila masuk semula ke tempat kerja selepas makan tengahari. Tak kira apa bangsa, asalkan rakyat Malaysia, pasti makan nasi untuk makan tengahari. Jika makan selain nasi, mula lah mencari sumber kudapan untuk top-up rasa puas makan tu.

Kudapan di Tempat Kerja

Baru sebut tadi kan. Kadang-kadang dah kenyang pun dari makan tengahari tu, tetapi bila stress kerja melanda, mula lah mulut orang Malaysia ni mencari-cari snek untuk kunyah-kunyah. Ada tempat kerja yang sediakan kudapan ini di pantri masing-masing. Tapi ada juga pekerja sendiri yang memenuhkan laci dengan snek supaya senang nak capai dan meneruskan kerja.

Baik Tuan, Ye Bos, Saya Setuju Puan

Panggilan ketua tempat kerja pun jadi isu? Tanpa sedar, sebagai sifat orang Malaysia yang menghormati yang lebih berpangkat ini perkara biasa. Walaupun yang berpangkat tinggi itu jauh lebih muda daripada kita, inilah budaya yang sebati dengan sifat orang Malaysia. Kalau pun tiada pangkat yang jelas seperti Datuk, Datin, sebagai pekerja berpangkat lebih rendah akan memanggil dengan panggilan Bos, Tuan atau Puan. Ia menampakkan kesantunan dan kesopanan dalam berurusan dengan mereka. Tapi, semakin kita menuju ke arah kemodenan budaya kerja, generasi muda lebih selesa merapatkan jurang di antara pekerja tak kira apa pangkat sekali pun.

Budaya Kerja Sebahagian Daripada Jenama

Sebagai pengukuhan kepada jenama syarikat, budaya tempat kerja juga boleh menjayakan jenama atau meruntuhkan jenama. Dan setiap perkara dalam hidup ini tanpa sedar berlandaskan reka bentuk tertentu. Jenama syarikat yang berjaya turut meliputi budaya kerja yang direka mengikut visi syarikat agar, setiap individu dalam syarikat bersama-sama menjaga nama baik jenama. Bagi syarikat yang ingin tahu mengenai strategi penjenamaan, boleh menghubungi DDEC melalui Whatsapp di 019-222 3300 atau layari ddec.my. Bagi yang aktif di media sosial boleh ikut kami di Facebook, Instagram dan saluran YouTube, ddecmalaysia.

Share with:
VIEW
CLOSE